Saya merujuk kepada kenyataan-kenyataan mutakhir yang menjurus kepada jumlah kerusi yang ingin ditandingi oleh sesetengah pihak dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.
Dalam situasi rakyat sedang berhadapan dengan tekanan kos sara hidup, harga barangan yang tidak menentu serta jurang pembangunan luar bandar yang masih ketara, kenyataan seperti ini tidak membawa sebarang nilai tambah terhadap agenda kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
Politik bukanlah semata-mata tentang angka atau mendabik dada di pentas terbuka. Ia adalah soal amanah, integriti dan kesungguhan dalam memberi khidmat.
Saya ingin menegaskan bahawa kenyataan pramatang seperti ini hanya mencetuskan persepsi bahawa ada segelintir pemimpin terlalu ghairah menghitung kerusi dan pengaruh, berbanding memberi perhatian kepada masalah rakyat yang sepatutnya menjadi keutamaan.
Saya menyeru semua pihak agar lebih berdisiplin dan berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan kepada umum. Hormatilah proses rundingan yang sedang berjalan, dan jangan mendahului keputusan kepimpinan tertinggi mana-mana gabungan atau parti.
Kepercayaan rakyat hanya boleh dibina melalui kesatuan tindakan dan keikhlasan khidmat, bukan melalui perlumbaan pengaruh secara terbuka yang boleh mencetuskan kekeliruan dan perpecahan.
Fokus utama kita kini seharusnya ialah memperkukuh usaha di peringkat akar umbi, memperbaiki kelemahan yang lalu dan menunjukkan komitmen sebenar untuk membantu rakyat yang sedang bergelut dalam pelbagai aspek kehidupan.
Sebagai pemimpin muda, saya percaya bahawa pendekatan politik yang matang, berhemah dan beradab adalah jalan terbaik untuk mengangkat martabat politik di negeri ini. Jangan jadikan politik sebagai medan menunjuk kuasa, tetapi jadikan ia ruang untuk mempamerkan integriti, tanggungjawab dan keikhlasan dalam berbakti kepada rakyat.
DATO’ SRI DR. ANIL SANDHU
Exco Pemuda BN Malaysia
Bendahari Pemuda UMNO Sabah
Ketua Pemuda UMNO Lahad Datu
