SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merampas 75,000 liter minyak sawit mentah dan diproses bernilai RM2.96 juta dalam dua serbuan berasingan di sekitar Sandakan hasil operasi bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada 10 Julai lalu.
Dalam serbuan pertama di jalan Sandakan–Kinabatangan, empat lelaki berumur antara 20 hingga 45 tahun ditahan ketika sedang memindahkan minyak sawit dari sebuah lori tangki ke tangki lain di bahu jalan.
Mereka gagal mengemukakan dokumen sah dan disyaki melanggar Peraturan-Peraturan MPOB 2005.
Serbuan kedua di kawasan Bandar Ramai-Ramai pula menemukan sebuah lagi lori tangki serta beberapa tangki simpanan mengandungi minyak sawit mentah (CPO) dan minyak sawit diproses (PPO).
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, nilai rampasan keseluruhan mencecah RM2,965,400,] melibatkan dua lokasi.
“Setakat tahun ini sahaja, PPM Wilayah 4 mencatatkan 11 kes rampasan dengan 23 tangkapan membabitkan nilai sitaan melebihi RM12.2 juta,” katanya dalam satu kenyataan.
Kes disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia 2005.-TVS
Kredit foto: PPM W4
