KOTA KINABALU: Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Sabah, rakyat wajar menilai semula pengalaman pahit di bawah pentadbiran Parti Warisan apabila ekonomi negeri menjunam ke paras terendah dalam sejarah.
Menurut Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Sabah, Datu Rosman Datu Ahir Zaman, kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah merosot secara mendadak daripada 8.2 peratus pada tahun 2017 kepada hanya 1.5 peratus pada 2018, sebelum terus jatuh ke 0.5 peratus pada 2019 iaitu angka paling rendah di seluruh Malaysia.
“Rakyat perlu bertanya, apakah kita mahu mengulangi tragedi ekonomi era Warisan yang meninggalkan kesan besar terhadap kesejahteraan rakyat Sabah?” katanya.
Beliau menjelaskan, antara tahun 2018 hingga 2020, pentadbiran Warisan melaksanakan dasar populis yang dikenali sebagai “reformasi hijau” tanpa sebarang analisis ekonomi, pelan peralihan industri mahupun strategi penggantian hasil negeri.
“Moratorium pembalakan serta larangan eksport balak mentah dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa pelan hiliran atau bioekonomi yang jelas. Akibatnya, seluruh rantaian ekonomi luar bandar lumpuh, ribuan rakyat kehilangan pekerjaan, pelabur menarik diri dan hasil negeri merosot dengan drastik,” ujarnya.
Datu Rosman menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) Sabah percaya pembangunan lestari tidak boleh dibina atas naratif kosong atau idealisme semata-mata, tetapi mesti berpaksikan keseimbangan antara konservasi dan kemakmuran rakyat.
“Melalui model Sustainable Forest Management (SFM) yang terbukti sejak 1997, BN akan memulihkan sektor hutan secara lestari sambil menjana ekonomi melalui bioekonomi, industri hiliran, tenaga boleh diperbaharui serta pelancongan alam semula jadi,” katanya.
Beliau menambah, menjelang PRN17 ini, rakyat Sabah perlu membuat pilihan bijak antara rekod kegagalan Warisan dan dasar realistik BN yang berpaksikan ilmu, data serta kesejahteraan rakyat.
“Sabah tidak mampu lagi bereksperimen dengan idealisme yang memusnahkan ekonomi. Masa depan negeri ini bergantung pada kepimpinan yang berpengalaman dan berpandangan jauh,” tegasnya lagi. – UMNO Online