UMNO Johor hantar 150 petugas bantu kempen PRU DUN Sabah

JOHOR BAHRU: UMNO Johor akan menggerakkan sekurang-kurangnya 150 petugas bagi membantu kempen di lima kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah menjelang PRU DUN Sabah yang dijadualkan berlangsung November ini.

Menurut Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan, kawasan yang akan dibantu ialah Pantai Dalit, Sulaman, Pintasan, Tempasuk dan Usukan, yang terletak dalam Parlimen Tuaran dan Kota Belud.

Katanya, setiap DUN akan dijaga oleh satu bahagian UMNO Johor iaitu Pontian, Seri Gading, Simpang Renggam, Kulai dan Tebrau, dengan sekitar 30 petugas dari setiap bahagian.

“Kita bukan jentera utama, tapi datang sebagai pasukan bantuan. Dalam masa yang sama, ini juga medan latihan untuk jentera UMNO Johor menghadapi pilihan raya negeri kita sendiri nanti,” jelas beliau.

Ahmad berkata, pasukan bantuan itu merangkumi Jawatankuasa Bahagian UMNO, serta sayap Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO, yang akan ‘berkampung’ di Sabah sepanjang tempoh kempen.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program penyampaian kerusi bayi anjuran Puteri UMNO di Kampung Tersusun Parit Seraya, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad turut memaklumkan bahawa Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang juga Pengerusi UMNO Johor, akan mengadakan pertemuan dengan jentera utama parti di kelima-lima DUN terbabit pada 8 November ini.

“Kita mensasarkan kemenangan di kelima-lima kerusi yang dijaga oleh pasukan Johor, walaupun salah satunya akan mempertemukan kita dengan Ketua Menteri sendiri, Datuk Seri Hajiji Noor, di DUN Sulaman,” katanya.

Ahmad menyeru semua jentera UMNO Johor yang dipilih ke Sabah agar bersiap siaga dan menjalankan amanah dengan penuh tanggungjawab.

“Matlamat kita jelas iaitu memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) di semua kerusi yang dijaga,” tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *