Warisan sudah lama bersedia hadapi PRN – Shafie

KOTA KINABALU: “Kami dah lama bersedia, bukan tunggu DUN dibubar,” Itu penegasan Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal yang menyatakan partinya telah bersiap siaga sejak bertahun-tahun bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijadual berlangsung pada 29 November ini.

Menurut Shafie, Warisan tidak pernah berhenti turun padang bertemu rakyat dan memperkukuh jentera parti walaupun belum ada pengumuman rasmi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Hampir empat tahun saya menjelajah ke semua 73 daerah di Sabah — dari Sipitang hingga Kudat, dari Kinabatangan ke Keningau, Nabawan, Sook dan banyak lagi tempat lain,” katanya ketika ditemui pada sesi bertemu rakyat di Pulau Banggi, semalam.

Beliau menegaskan, persiapan pilihan raya tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa selepas tarikh diumumkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebaliknya mesti bermula jauh lebih awal dengan perancangan yang tersusun.

“Fokus kami bukan pada panik atau reaksi, tapi pada kesiapsiagaan. Apabila tiba masanya, calon-calon Warisan akan diumumkan,” katanya.

Shafie turut menjelaskan, aktiviti Warisan selama ini bukan sekadar kempen politik, sebaliknya usaha berterusan untuk memahami keperluan rakyat dan membina kepercayaan di peringkat akar umbi.

Katanya, beliau juga tidak terburu-buru mengumumkan calon kerana berpengalaman lebih 30 tahun dalam politik dan tahu ada pihak cuba membeli calon, pencadang serta penyokong menjelang hari penamaan.

“Yang penting sekarang ialah memperkukuh perpaduan dan kekuatan dalaman parti supaya kita kekal utuh bila tiba waktunya,” jelasnya.

Dalam masa sama, Shafie menegaskan kekuatan Warisan bukan hanya pada calon, tetapi pada kepercayaan rakyat terhadap parti tempatan itu.

“Apa yang penting ialah parti. Jika rakyat percaya Warisan mampu membawa masa depan lebih baik untuk Sabah, mereka akan memilih kita.

“Bukannya Kuala Lumpur yang tentukan siapa Ketua Menteri, tapi rakyat Sabah sendiri,” tegasnya.

Beliau turut menyindir keadaan gabungan kerajaan negeri yang disifatkannya semakin bercelaru dengan pelbagai parti dan logo.

“Kalau mereka sendiri keliru logo mana nak guna, bagaimana rakyat mahu percaya?” katanya sambil menegaskan hanya parti yang benar-benar berpaksikan Sabah mampu mempertahankan hak dan maruah negeri ini.

 

Sumber: SNT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *